18 September 2009
JHEOA AKAN PINDA AKTA 134
KAMPUNG SAWAH BANDAR SUNGGALA – Kegusaran masyarakat Orang Asli mengenai status mereka yang terikat dengan Akta 134 akan berakhir tidak lama lagi apabila Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mengambil inisiatif memindanya.
Ketua Pengarah JHEOA Malaysia, Mohd Sani Mistam berkata, Akta 134 akan dibuat pindaan dalam sedikit masa lagi mengikut kesesuaian masa.
Menurutnya, pindaan itu akan dibuat selaras pembangunan negara agar masyarakat Orang Asli sama-sama menikmati kemajuan negara.
“Bagi mana-mana perkara yang tidak relevan akan digugurkan dan ditambah bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Majlis Berbuka Puasa Sempena Program Ihya Ramadan 2009 di Perkampungan Orang Asli Kampung Sawah Sunggala.
Mohd Sani berkata, kerajaan sentiasa memastikan Orang Asli memperoleh kemajuan sama seperti masyarakat lain di negara ini.
“Kerajaan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada mereka melalui tiga proses iaitu semasa pasca kemerdekaan, integriti kaum dan pembangunan fizikal serta mental.
“Kita mahukan transformasi Orang Asli seiring dengan kemajuan negara,” katanya.
Wakil Tok Batin Kampung Sawah Sunggala, Simpan Suda berkata, perkampungan Orang Asli ini sudah 35 tahun mengamalkan konsep 1Malaysia seperti mana diuar-uarkan Perdana Menteri.
“Kampung ini walaupun penduduknya hanya 164 orang tetapi mempunyai berbilang bangsa dan agama.
“Cuma yang tidak dapat dipastikan mengenai status individu dan kelompok masyarakat Orang Asli. Oleh yang demikian kami mengharap agar pihak JHEOA dengan segera mengambil tindakan sebelum berlaku konflik tidak diingini,” katanya.
Simpan berkata, Tok Batin yang ada sekarang ini hanya berperanan menjaga adat resam dan pantang larang masyarakat Orang Asli serta sebarang tindakan dan keputusan tertakluk kepada JHEOA.
Pada majlis itu, JHEOA menyampaikan bantuan berbentuk makanan asasi kepada penduduk Orang Asli Kampung Sawah Sunggala dan juga Kampung Orang Asli Bukit kepong.
Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan juga menyampaikan bantuan makanan kepada Orang Asli yang beragama Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment