18 September 2009

JHEOA AKAN PINDA AKTA 134


KAMPUNG SAWAH BANDAR SUNGGALA – Kegusaran masyarakat Orang Asli mengenai status mereka yang terikat dengan Akta 134 akan berakhir tidak lama lagi apabila Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mengambil inisiatif memindanya.

Ketua Pengarah JHEOA Malaysia, Mohd Sani Mistam berkata, Akta 134 akan dibuat pindaan dalam sedikit masa lagi mengikut kesesuaian masa.

Menurutnya, pindaan itu akan dibuat selaras pembangunan negara agar masyarakat Orang Asli sama-sama menikmati kemajuan negara.

“Bagi mana-mana perkara yang tidak relevan akan digugurkan dan ditambah bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Majlis Berbuka Puasa Sempena Program Ihya Ramadan 2009 di Perkampungan Orang Asli Kampung Sawah Sunggala.

Mohd Sani berkata, kerajaan sentiasa memastikan Orang Asli memperoleh kemajuan sama seperti masyarakat lain di negara ini.

“Kerajaan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada mereka melalui tiga proses iaitu semasa pasca kemerdekaan, integriti kaum dan pembangunan fizikal serta mental.

“Kita mahukan transformasi Orang Asli seiring dengan kemajuan negara,” katanya.

Wakil Tok Batin Kampung Sawah Sunggala, Simpan Suda berkata, perkampungan Orang Asli ini sudah 35 tahun mengamalkan konsep 1Malaysia seperti mana diuar-uarkan Perdana Menteri.

“Kampung ini walaupun penduduknya hanya 164 orang tetapi mempunyai berbilang bangsa dan agama.

“Cuma yang tidak dapat dipastikan mengenai status individu dan kelompok masyarakat Orang Asli. Oleh yang demikian kami mengharap agar pihak JHEOA dengan segera mengambil tindakan sebelum berlaku konflik tidak diingini,” katanya.

Simpan berkata, Tok Batin yang ada sekarang ini hanya berperanan menjaga adat resam dan pantang larang masyarakat Orang Asli serta sebarang tindakan dan keputusan tertakluk kepada JHEOA.

Pada majlis itu, JHEOA menyampaikan bantuan berbentuk makanan asasi kepada penduduk Orang Asli Kampung Sawah Sunggala dan juga Kampung Orang Asli Bukit kepong.

Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan juga menyampaikan bantuan makanan kepada Orang Asli yang beragama Islam.

RUMAH TERBUKA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri Jemput Rakyat Hadiri Rumah Terbuka

(Selangor Kini. Jumaat, 18 September 2009 | Ruangan: Berita)

SHAH ALAM, 18 Sept -Kerajaan Negeri Selangor menjemput rakyat negeri ini untuk hadir ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2009 pada hari raya pertama di Shah Alam Convection Centre (SACC).

Majlis yang dianjurkan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terbuka kepada semua lapisan masyarakat bermula dari jam 10.00 pagi hingga jam 3 petang.

selain menikmati juadah hari raya serta berhibur dengan beberapa artis tempatan, para tetamu juga berpeluang beramah mesra dengan Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriah sambutan aidilfitri kali ini.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir boleh melayari laman web TV Selangor http://www.tvselangor.com/ untuk menyaksikan siaran secara langsung sambutam program tersebut.

09 September 2009

Ceramah Nuzul Al-Qur'an















Ceramah Nuzul Al-Qur'an di Masjid Jame'atus Salehah, Dengkil telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Efendi pada malam 17 Ramadhan 1430 (8 September 2009) iaitu selepas sembahyang sunat taraweh secara berjemaah.

Syukur Alhamdulillah, kehadiran para jemaah yang ramai telah mengimarahkan majlis peringatan sejarah turunnya Al-Qur'anul Karim dengan menikmati buah-buah pesanan ilmu yang amat bermenfaat daripada Al-Fadhil tuan penceramah.

Para hadirin kelihatan meneliti kandungan ceramah dengan baik khususnya tentang kupasan sebutan makhraj huruf di dalam surah Al-Fatihah dan kupasan perjalanan di titian sirat kelak.














06 September 2009

Salam Untuk Semua

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua tetamu Agenda Dengkil,

Selamat berpuasa dan terus beramal di pertengahan bulan suci ini
Selamat bercuti sambil menghayati hikmah Nuzul Al-Qur'an
Selamat bersantai di rumah, bersiap-siap untuk awal Syawal
bersiap-siap untuk berbuka puasa...

Selamat meneliti kalam suci, terjemahan dan tafsirannya
Selamat meneruskan rutin Ramadhan... yang semakin bergerak ke penghujungnya ini

Sayugia, santapan mata dan minda untuk anda tersedia di sini
Salam untuk semua, salam kedamaian agenda kemanusiaan
Semoga salam perkenalan ini terus mekar di antara kita
warga Dengkil, warga Malaysia dan warga dunia